Ketua Pegawai Eksekutif
PMB Investment Berhad
Pn. Mahani Ibrahim mempunyai pengalaman lebih dari 20 tahun dalam penilaian risiko kredit dan perniagaan, serta produk bank pelaburan. Beliau memulakan kerjayanya dalam industri perbankan dan perkhidmatan kewangan di Pacific Bank Berhad sebagai pegawai kredit. Pn. Mahani meneruskan perkhidmatannya dengan AmInvestment Bank Berhad sebagai Pengarah Associate dalam Perbankan Korporat/Perbankan Pelaburan Korporat pada tahun 1997 hingga 2006, di mana beliau membina jaringan dengan syarikat-syarikat besar dan syarikat tersenarai dalam pelbagai industri seperti perladangan, hartanah, pembinaan, infrastruktur, dan pembuatan, dengan fokus utama kepada syarikat-syarikat milik kerajaan Negeri Johor dan syarikat korporat besar berpangkalan di Johor, terutamanya melibatkan pengurusan atasan pelanggan dan ahli lembaga pengarah.
Pada tahun 2007, Pn. Mahani menyertai RHB Investment Bank Berhad, Kuala Lumpur sebagai Naib Presiden dalam Perbankan Pelaburan Korporat sehingga 2009 sebelum menyandang jawatan sebagai Pengarah dalam Kumpulan Institusi Kewangan di AmInvestment Bank Berhad, Kuala Lumpur pada tahun 2010.
Kemudian, beliau berkhidmat dengan OCBC Bank (Malaysia) Berhad sebagai Naib Presiden Pasaran Hutang & Sindikasi dalam Perbankan Pelaburan Global dari tahun 2013 hingga 2017. Beliau memainkan peranan penting dalam mengenal pasti, menubuhkan, dan mengekalkan hubungan dengan pelbagai pihak di Kementerian Kewangan (“MoF”) dan anak-anak syarikat berkaitan MoF untuk Kumpulan OCBC.
Pn. Mahani kemudian menyertai Pelaburan MARA Berhad sebagai Pengarah Jualan Institusi, Dana & Analitik pada Disember 2017. Dalam Kumpulan ini, beliau juga berkhidmat sebagai Ketua Jualan Strategik PMB Investment, Pegawai Operasi Bertindak, dan Ketua Pegawai Eksekutif Bertindak bagi PMB Investment. Mengikut kelulusan Suruhanjaya Sekuriti pada 1 Oktober 2021, beliau kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment.
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Marquette, Milwaukee, Wisconsin, USA.