KEJOHANAN BOWLING INTER-UNIT AMANAH KE-22:
SEMARAK SEMANGAT BERPASUKAN DAN KESUKANAN
Kuala Lumpur, 14 Disember 2024 – PMB United, Kelab Sukan dan Rekreasi di bawah Pelaburan MARA Berhad, dengan bangganya telah menganjurkan Kejohanan Bowling Inter-Unit Amanah ke-22, yang menghimpunkan sebanyak 24 buah pasukan daripada syarikat unit amanah, firma pengurusan aset, dan organisasi terkemuka lain.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Pelaburan MARA Berhad, merangkap Presiden PMB United, En. Mohd Adzhar Abdul Hamed, di Wangsa Bowl, One Utama, Petaling Jaya, Selangor. Hadir sama, Pengerusi PMB Investment Berhad, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman.
Menurut En. Mohd Adzhar, beliau amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa terhadap kejohanan tahun ini, yang menyaksikan penyertaan daripada 24 pasukan melibatkan 96 atlet daripada pelbagai organisasi kewangan dan unit amanah.
“Sambutan hangat daripada semua pihak amat membanggakan dan membuktikan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan kita. Saya yakin setiap pasukan telah membuat persiapan rapi, daripada pemilihan pemain hingga latihan dan perancangan strategi. Saya berharap semangat berpasukan dan disiplin tinggi ini dapat diteruskan dan diamalkan dalam kerja seharian kita,” kata En. Mohd Adzhar.
Sementara itu, Datuk Mohd Idzwan menambah, “Kejohanan ini bukan sahaja mengenai persaingan, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan, memperkukuh kerjasama, dan meraikan semangat berpasukan. Dalam industri yang bergerak pantas, acara seperti ini memberi peluang untuk berhubung secara peribadi, berseronok, dan mencipta kenangan indah di luar tempat kerja.”
Bagi pihak Kumpulan Pelaburan MARA dan PMB United, En. Mohd Adzhar turut merakamkan penghargaan kepada 10 penaja utama kejohanan tahun ini, termasuk Kenanga, AmanahRaya (Trustee), MIDF, AmBank Group, Hong Leong Investment Bank, BIMB Securities, dan ahli-ahli kumpulan Pelaburan MARA. “Sumbangan anda amat bermakna dalam menjayakan acara ini,” tambahnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, sila layari laman sesawang Pelaburan MARA di www.pelaburanmara.com.my dan ikuti saluran media sosial kami.
-TAMAT-
Info Korporat:
Mengenai Pelaburan MARA Berhad
Kami merupakan sebuah syarikat pelaburan strategik dan perkhidmatan kewangan yang dimiliki sepenuhnya oleh MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp). Aktiviti utama kami merangkumi pelaburan, pengurusan aset, pembiayaan Islam, penasihat korporat, dan perkhidmatan data pelaburan.
Perjalanan kami bermula pada tahun 1965 apabila Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama meluluskan resolusi untuk menubuhkan sebuah entiti yang berperanan sebagai platform bagi penglibatan langsung dan aktif Bumiputera dalam pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam pasaran modal. Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah diberi mandat untuk merealisasikan visi ini, yang membawa kepada penubuhan PELABURAN MARA BERHAD (dahulunya dikenali sebagai Amanah Saham MARA Berhad) dua tahun kemudian.
Pada tahun 2018, MARA telah memindahkan semua sahamnya dalam Pelaburan MARA Berhad kepada MARA Corp sebagai sebahagian daripada langkah rasionalisasi entiti komersial MARA.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI
Pemangku Ketua, Komunikasi Pemasaran
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut, 50400 Kuala Lumpur
T: 03-4145 3830
F: 03-4145 3801
M: 012-2737 685
taha.rusydi@pelaburanmara.com.my