PMB Tijari Tunai Zakat Perniagaan Berjumlah Lebih RM 160,000.00 Kepada PPZ-MAIWP

01-08-2024

Kuala Lumpur, 16 Julai 2024 – PMB Tijari Berhad (PMB Tijari), sebuah anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, hari ini telah tampil melunaskan tanggungjawab menunaikan zakat perniagaan syarikat itu bagi tahun 2023 dengan membayar sejumlah RM166,623.00 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Majlis Zakat Korporat 2024 anjuran PPZ-MAIWP telah berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL).
Penyerahan zakat perniagaan PMB Tijari disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Puan Norleza Abu Bakar kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman, disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj Mohd Na’im Hj Mokhtar. Hadir sama, Pengerusi PPZ-MAIWP, Dato’ Sri Amrin Awaluddin.


Menurut Puan Norleza Abu Bakar, sebagai syarikat korporat di bawah Kumpulan Pelaburan MARA dan naungan MARA Corporation Sdn Bhd, PMB Tijari sentiasa berusaha untuk tampil menunaikan zakat perniagaan syarikat berkenaan atas keprihatinan bersama bagi menggalas tanggungjawab untuk membantu asnaf yang memerlukan.

“Tahun ini merupakan tahun kedua bagi PMB Tijari membuat serahan zakat perniagaan kepada pihak PPZ-MAIWP. Pada tahun lalu, pihak kami telah menunaikan zakat perniagaan syarikat itu bagi tahun 2022 sebanyak RM100,000.00’’, kata Puan Norleza.

Tambahnya, PMB Tijari turut komited dan cakna dalam melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan. Antara fokus CSR PMB Tijari adalah membantu dalam memperkasakan ilmu pengetahuan, pembangunan keharmonian komuniti, serta usaha memelihara dan memulihara alam sekitar. Hal ini termasuk usaha dalam membantu agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam sebarang aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk mencapai objektif bersama.

Atas tujuan itu, program serahan zakat pada hari ini merupakan antara perancangan yang telah dirangka sempena sambutan ulang tahun ke-10 PMB Tijari bermula pada bulan April 2024. Pelbagai program CSR serta acara korporat lain juga bakal diadakan sehingga 31 Mac 2025 bagi mengukuhkan lagi jenama PMB Tijari di mata masyarakat, disamping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan pihak berkepentingan yang lain.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk PMB Tijari, sila layari www.pmbtijari.com.my.


-TAMAT -


Info Korporat:
PMB Tijari Berhad sebelum ini dikenali sebagai KFH Ijarah House (Malaysia) dan ditubuhkan pada 8 Ogos 1994. Syarikat ini menjadi Ahli Kumpulan Pelaburan MARA Berhad (‘’Pelaburan Mara’’) pada 23 April 2014 dan dijenamakan semula kepada PMB Tijari Berhad (“PMB Tijari’’).
PMB Tijari memahami keperluan industri kewangan hari ini. Pembiayaan kewangan yang ditawarkan, direka khusus untuk memenuhi keperluan syarikat yang menerima kontrak daripada Kerajaan, Agensi Kerajaan, GLC/MNC/PLC, dan syarikat bereputasi yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan baik.


 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI
Pengurus, Komunikasi Pemasaran
Pelaburan MARA Berhad

Tel. : 03-4145 3800
H/P : 012-2737 685     
Email: taha.rusydi@pelaburanmara.com.my
Alamat : Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut, 50400 Kuala Lumpur.