PMB Tijari Sumbang Zakat Perniagaan Kepada PERKIM & Lapan Institusi MRSM Ulul Albab

01-08-2024

Kuala Lumpur, 27 Mac 2024 – PMB Tijari Berhad (PMB Tijari), sebuah anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, hari ini telah menyumbangkan zakat perniagaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM49,000.00 kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan lapan (8) buah Institusi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab di seluruh negara. Ia sempena Majlis Iftar Kumpulan Pelaburan MARA 2024 di Wisma PMB, siang tadi.

Serahan sumbangan zakat disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan Pelaburan MARA, Dato’ Mohamad Razali Mohamad Rahim kepada Pengerusi Dakwah PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Dr. Suariza Hidayah Muhammad dan Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar), Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Encik Meor Mohammad Khaliff Meor Mohamad Omar. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pelaburan MARA Berhad, Encik Mahdzir Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif, PMB Tijari, Puan Norleza Abu Bakar.

Menurut Puan Norleza Abu Bakar, PMB Tijari sentiasa komited dan cakna dalam melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan. Hal ini termasuk memfokuskan kepada membantu dalam memperkasakan ilmu pengetahuan serta pembangunan keharmonian komuniti dan usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Sebagai syarikat korporat di bawah Kumpulan Pelaburan MARA dan naungan MARA Corporation Sdn Bhd, PMB Tijari sentiasa komited dalam membantu agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam sebarang aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk mencapai objektif bersama’’, kata Puan Norleza.

Tambahnya, majlis pada hari ini merupakan antara perancangan yang telah dirangka sempena sambutan ulang tahun ke-10 PMB Tijari bermula pada bulan April 2024. Pelbagai program CSR serta acara korporat lain juga bakal diadakan sehingga 31 Mac 2025 bagi mengukuhkan lagi jenama PMB Tijari di mata masyarakat, disamping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan pihak berkepentingan yang lain.

Sumbangan zakat perniagaan PMB Tijari sebanyak RM40,000.00 ini adalah untuk agihan kepada lapan (8) buah institusi MRSM kategori Ulul Albab. Ia bertujuan untuk diagihkan sebagai sumbangan wang tunai kepada pelajar-pelajar khususnya dikalangan kategori B40 yang akan dikenal pasti oleh pihak MRSM sendiri, selain hadiah kecemerlangan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pertandingan Tilawah dan Hafazan Al-Quran.

Penerima MRSM kategori Ulul Albab berkenaan ialah MRSM Kota Putra Terengganu, MRSM Gemencheh Negeri Sembilan, MRSM Kepala Batas Pulau Pinang, MRSM Sungai Besar Selangor, MRSM Semporna Sabah, MRSM ATM Bera Pahang, MRSM Bagan Datuk Perak, dan MRSM Felda Trolak, Perak.

Dalam pada itu, PERKIM turut menerima sumbangan zakat perniagaan sejumlah RM9,000.00 bagi tajaan program Klinik Bacaan Al-Quran Mualaf. Ia sebagai usaha menyokong program dakwah, pendidikan dan kebajikan khususnya kepada asnaf mualaf iaitu saudara baru yang memerlukan perhatian serta bimbingan terutamanya program pemantapan aqidah.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk PMB Tijari, sila layari www.pmbtijari.com.my.


-TAMAT-

Info Korporat: PMB Tijari Berhad sebelum ini dikenali sebagai KFH Ijarah House (Malaysia) dan ditubuhkan pada Ogos 1994. Syarikat ini menjadi Ahli Kumpulan Pelaburan MARA Berhad (‘’Pelaburan Mara’’) pada 1 April 2014 dan dijenamakan semula kepada PMB Tijari Berhad (“PMB Tijari’’). PMB Tijari memahami keperluan industri kewangan hari ini. Pembiayaan kewangan yang ditawarkan, direka khusus untuk memenuhi keperluan syarikat yang menerima kontrak daripada Kerajaan, Agensi Kerajaan, GLC/MNC/PLC, dan syarikat bereputasi.



Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI,
Pengurus Komunikasi Pemasaran
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB,
No 1A Jalan Lumut
50400 Kuala Lumpur

T: 03-4145 3800
M: 012-2737 685
taha.rusydi@pelaburanmara.com.my​​​​​​​