PMB Tijari Sumbang Dua Ekor Lembu Korban Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha Dan Ulang Tahun Ke-10 Syarikat

01-08-2024

Kuala Lumpur, 19 Jun 2024 – PMB Tijari Berhad (PMB Tijari), sebuah anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, hari ini telah menyumbangkan sebanyak dua (2) ekor lembu korban dengan nilai keseluruhan berjumlah hampir RM11,000.00 kepada Masjid Al Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur.

Serahan sumbangan lembu korban disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Puan Norleza Abu Bakar bersama-sama dengan Pengerusi Masjid Al Ikhlasiah, Tuan Haji Abas Mohamed Khatib. Hadir sama, Timbalan Ketua Imam Masjid Al Ikhlasiah, Ustaz Mohd Talhah Alimin @ Abd Azizi dan Pengurus Kanan Kewangan & Perancangan Strategik PMB Tijari Berhad, Encik Mohammad Nazri Daud.

Menurut Puan Norleza Abu Bakar, sebagai syarikat korporat di bawah Kumpulan Pelaburan MARA dan naungan MARA Corporation Sdn Bhd, PMB Tijari sentiasa komited dan cakna dalam melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Antara fokus CSR PMB Tijari adalah membantu dalam memperkasakan ilmu pengetahuan, pembangunan keharmonian komuniti, serta usaha memelihara dan memulihara alam sekitar. Hal ini termasuk usaha dalam membantu agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam sebarang aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk mencapai objektif bersama.

“Sumbangan lembu korban pada hari ini merupakan program CSR yang julung kalinya dilaksanakan oleh PMB Tijari Berhad, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang diadakan pada hari kedua Hari Tasyrik bersamaan 12 Zulhijjah 1445H. Di samping itu, program pada hari ini juga dianjurkan sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-10 PMB Tijari’’, kata Puan Norleza.

Tambahnya, PMB Tijari bertanggungjawab sebagai penyumbang dana untuk pembelian lembu manakala pihak Masjid Al Ikhlasiah yang juga rakan strategik pula membantu mengenal pasti seramai 80 keluarga asnaf yang layak menerima daging korban, selain melaksanakan agihan.

Program CSR pada hari ini merupakan antara perancangan yang telah dirangka sempena sambutan ulang tahun ke-10 PMB Tijari bermula pada bulan April 2024. Pelbagai program CSR serta acara korporat lain juga bakal diadakan sehingga 31 Mac 2025 bagi mengukuhkan lagi jenama PMB Tijari di mata masyarakat, disamping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan pihak berkepentingan yang lain.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk PMB Tijari, sila layari www.pmbtijari.com.my.


-TAMAT -

Info Korporat: PMB Tijari Berhad sebelum ini dikenali sebagai KFH Ijarah House (Malaysia) dan ditubuhkan pada Ogos 1994. Syarikat ini menjadi Ahli Kumpulan Pelaburan MARA Berhad (‘’Pelaburan Mara’’) pada 1 April 2014 dan dijenamakan semula kepada PMB Tijari Berhad (“PMB Tijari’’). PMB Tijari memahami keperluan industri kewangan hari ini. Pembiayaan kewangan yang ditawarkan, direka khusus untuk memenuhi keperluan syarikat yang menerima kontrak daripada Kerajaan, Agensi Kerajaan, GLC/MNC/PLC, dan syarikat bereputasi.



Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI,
Pengurus Komunikasi Pemasaran
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB,
No 1A Jalan Lumut
50400 Kuala Lumpur

T: 03-4145 3800
M: 012-2737 685
taha.rusydi@pelaburanmara.com.my