16-03-2023
PMB Investment Berhad, sebuah anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, hari ini memenangi Best Malaysia Large-Cap Equity (Shariah) Fund di Anugerah Dana Morningstar Malaysia 2023 untuk dana di bawah pengurusannya, PMB Shariah Tactical Fund (PMB STF).
Morningstar Asia Limited, anak syarikat Morningstar, Inc (NASDAQ: MORN) ialah penyedia terkemuka penyelidikan pelaburan yang bebas. Anugerah tahunan ini mengiktiraf dana-dana runcit yang berjaya memberi nilai tambah paling tinggi kepada pelabur dalam kategori setaranya pada 2022 dan dalam jangkamasa lebih panjang.
“Kami teruja dan gembira memenangi anugerah ini. Ia merupakan pengiktirafan berasaskan merit kepada pengurus dana dan syarikat kami. Anugerah ini telah menjadi sumber inspirasi, semangat dan motivasi kepada kakitangan Kumpulan Pelaburan MARA, khususnya dan PMB Investment khasnya, untuk terus komited dalam memberikan pulangan konsisten kepada pelabur kami melalui pengurusan dana yang baik,” kata Mahdzir Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA.
Sementara itu, Mahani Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment menambah, “Prestasi cemerlang dana-dana unit amanah di bawah pengurusan PMB Investment termasuk PMB Shariah Tactical Fund membuktikan bahawa kami berjaya mengharungi ketidaktentuan pasaran pada 2022, dan terus memberikan nilai kepada pelabur kami. Setiap masa adalah waktu terbaik untuk melabur dengan PMB Investment.
“Antara strategi yang digunakan termasuk peruntukan aset taktikal jangka panjang, ditambah dengan fleksibiliti untuk mengimbangi semula peruntukan antara kelas aset berbeza bagi ekuiti patuh Syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti. Strategi ini berfungsi terutamanya semasa ketidaktentuan pasaran, dan pada masa sama memberikan petunjuk berharga dalam mengendali dan mengatasi ketidakstabilan pasaran jangka pendek. Anugerah ini adalah bukti kami berada di landasan yang betul,” tambahnya.
PMB Shariah Tactical Fund menawarkan para pelabur peluang untuk mencapai pertumbuhan modal jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam mana-mana 50 saham patuh Syariah terbesar daripada segi permodalan pasaran yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Untuk rekod, PMB Shariah Tactical Fund mencatatkan pulangan 27% untuk tempoh lima (5) tahun yang berakhir pada 28 Februari 2023. Manakala, pulangan bagi tiga (3) tahun pula adalah 46% untuk tempoh tiga (3) tahun dan pulangan bagi satu (1) tahun pula hanya 10%, masing-masing berakhir pada 28 Februari 2023. Mengulas lanjut mengenai prospek pasaran untuk 2023, Mahdzir berkata, "2023 dijangka menjadi tahun yang paling mencabar di tengah-tengah kemelesetan di seluruh dunia. Kami berharap Belanjawan Negara 2023 dapat memperlihatkan pertumbuhan dalam projek-projek infrastruktur yang lebih baik di seluruh negara serta keputusan yang lebih tegas oleh kerajaan mengenai dasardasar kerana ini diperlukan untuk meningkatkan keyakinan pelabur, terutama pelabur asing ke pasaran tempatan."
PMB Investment, sebuah syarikat milik penuh Pelaburan Mara Berhad, adalah sebuah Syarikat Pengurusan Pelaburan Islam (Islamic Fund Management Company, IFMC), menguruskan 19 dana unit amanah, dua (2) dana borong serta beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti dan sukuk.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
Marina Ghazali
Ketua, Komunikasi Pemasaran
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB
No. 1A Jalan Lumut,
50400 Kuala Lumpur
T: 03 - 4145 3800
F: 03 - 4145 3801
M: 019 - 232 7423
E: marina@pelaburanmara.com.my
19-03-2021
01-08-2024
19-03-2021
01-08-2024