NPF PMB Tijari Masih Rendah

13-02-2020


KUALA LUMPUR – Pelaburan MARA Bhd. melalui cabang perkhidmatan kewangannya, PMB Tijari Bhd. (PMB Tijari) tidak melihat kadar pembiayaan tidak berbayar (NPF)nya akan meningkat disebabkan wabak Covid-19.

Kadar NPF PMB Tijari kini berada pada paras yang sangat rendah, iaitu di bawah tiga peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Wan Sazriz Wan Zaid berkata, faktor ini disumbangkan daripada usaha pihaknya yang bersedia menyelaraskan soal pembayaran balik berdasarkan keperluan peminjam.

Menurut beliau, PMB Tijari yang tidak membawa mandat untuk mengejar keuntungan komersial, sebaliknya bertujuan untuk membangunkan usahawan yang lestari perlu fleksibel dan memahami kekangan yang dialami perusahaan.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami telah membuat penilaian secara keseluruhan, memang ada yang tidak mampu membuat pembayaran namun ia bukan disebabkan isu prestasi, tetapi kerana keadaan industri semasa terutamanya melibatkan soal logistik,” katanya kepada pemberita di ibu pejabatnya di KL Sentral semalam.

Wan Sazriz menjelaskan, pihaknya tidak menawarkan moratorium kepada pelanggan tetapi bersedia memberi kelonggaran kepada para peminjamnya mengikut kes masing-masing.

“Sebelum ini memang ada syarikat yang tidak membayar balik pinjaman dan kami saman sehingga mereka bankrap, kami terpaksa lakukan kerana kami memerlukan dana yang sama untuk ditawarkan kepada usahawan lain,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, PMB Tijari menyasarkan agihan pembiayaan sebanyak RM100 juta tahun ini namun hanya 40 peratus daripada jumlah tersebut telah diluluskan.

“Kami akan fokus kepada sektor yang terkesan akibat Covid-19 seperti automotif, pembinaan, minyak dan gas serta logistik selain turut meningkatkan had pembiayaan kepada RM10 juta berbanding RM5 juta sebelum ini,” katanya.

Kosmo