HOME : NEWS & UPDATES

SEDIAKAN SAHUR UNTUK GELANDANGAN

2018-05-18

BERSEMPENA Ramadan, Institut Onn Ja'afar (IOJ) yang terkenal dalam aktiviti kesukarelawanan menyediakan makanan untuk gelandangan bersahur.

Ketua Pegawai Eksekutif IOJ, Charles Mohan berkata, kebiasaannya mereka akan menyediakan sarapan setiap Rabu untuk golongan kurang bernasib baik, namun bersempena Ramadan ia ditukar kepada makanan untuk bersahur.

Beliau merujuk kepada Kempen Jom Bekpes yang memberikan manfaat kepada 250 kanak-kanak kurang bernasib baik dan gelandangan sejak tiga tahun.

“Sukarelawan kami adalah dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang memilih IOJ untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
 
“Menerusi program dianjurkan gelandangan bukan sahaja ada makanan untuk mengisi perut ketika bersahur, sebaliknya mereka ini berasa dihargai dan tidak dipinggirkan lebih-lebih lagi ketika Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Menurutnya, kira-kira 11 malam semalam, 31 sukarelawan daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkumpul di Pusat Sukarelawan IOJ di Kuala Lumpur untuk menyediakan 300 pek makanan dan pakaian untuk diagih kepada mereka yang memerlukan.
 
Jelasnya makanan yang ditaja oleh Pelaburan Mara Berhad, diagihkan di Pusat Transit Gelandangan dan di depan KL Krash Pad Yayasan Chow Kit di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Datuk Nazim Rahman berkata, mereka menaja sebahagian program ‘soup kitchen’ IOJ tahun ini iaitu 10 sesi JOM BEKPES, satu sesi JOM CNY untuk Tahun Baru Cina dan program malam tadi menjadikan jumlahnya 12 program.

 

Artikel Penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/05/341006/sediakan-sahur-untuk-gelandangan