HOME : NEWS & UPDATES

PELABURAN MARA TANDATANGANI MOU DENGAN FUJI XEROX, BUMI XEROX

2013-12-19

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Pelaburan MARA Bhd (PMB) menandatangani perjanjian persefahaman Skim Khidmat Usahawan MARA dengan Fuji Xerox Asia Pacific Pte Ltd dan Bumi Xerox Sdn Bhd.

Menerusi perjanjian persefahaman ini, Fuji Xerox, syarikat pengurusan, teknologi, penyelesaian dan perkhidmatan dokumen, terkemuka akan membimbing usahawan MARA yang merancang untuk membuka perniagaan pusat fotokopi dan perniagaan percetakan, menerusi bengkel dan kelas bimbingan.

Bumi Xerox, ejen tunggal peralatan Fuji Xerox di Kedah pula sebagai rakan kongsi strategik, akan mempromosi dan mengedar barangan untuk kegunaan usahawan. Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat, Datuk Ibrahim Ahmad berkata usaha sama tiga pihak ini merupakan sebahagian daripada program pembangunan usahawan bersepadu yang diterajui oleh MARA menerusi Skim Khidmat Usahawan MARA.

"Ini merupakan antara agenda pembangunan usahawan yang juga menjadi sebahagian daripada agenda sosioekonomi yang menjadi asas kepada kewujudan MARA," katanya pada majlis pemeteraian persefahaman itu di sini hari ini. Beliau berkata PMB, unit di bawah MARA, memainkan peranan dengan menyediakan platform menerusi pelbagai inisiatif bagi membentuk ekosistem agar membantu kumpulan usahawan menjayakan perniagaan mereka.

Pihak Fuji Xerox turut menawarkan perkhidmatan pakar runding dalam pengawalan kos dan proses bagi mengurangkan kos dalam percetakan dokumen. "Usaha sama tiga pihak ini turut membuktikan kecekapan kerajaan dalam membantu bakal usahawan Bumiputera dengan menyalurkan pemindahan teknologi dan pengetahuan agar dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan di pusat-pusat fotokopi dan percetakan yang diusahakan," katanya.

Skim Khidmat Usahawan MARA yang bermula tahun hadapan dengan penglibatan 50 peserta terpilih, termasuk pelajar tahun akhir Institut Kemahiran MARA dan GiatMARA, dalam projek perintis skim tersebut. Skim itu terbuka kepada lepasan institut pengajian tinggi MARA dan orang ramai untuk mengikuti projek perintis skim itu. PMB merupakan syarikat pengurusan pelaburan aset dan kewangan yang  ditubuhkan sejak 1967.

Pelopor industri saham amanah Bumiputera negara, PMB kini meluaskan aktiviti dan terlibat dalam pelaburan ekuiti persendirian, pengurusan aset, perkhidmatan kewangan dan penasihat korporat.


Sumber :  BERNAMA