HOME : NEWS & UPDATES

PELABURAN MARA RANCANG LEBAR SAYAP KE NEGARA ASEAN

2015-01-07

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Pelaburan Mara Berhad (Pelaburan MARA) merancang melebarkan aktiviti perniagaannya ke negara-negara ASEAN menerusi perkhidmatan kewangan, kata pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan.

Beliau berkata langkah itu bagi meningkatkan peranan dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau seiring dengan pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2015.

Sohaimi berkata sebagai usaha memperkukuh kedudukan dalam industri pengurusan dana, Pelaburan MARA akan bekerjasama dengan syarikat penarafan kredit di China untuk menubuhkan syarikat penarafan kredit Asia sebagai memenuhi keperluan pasaran terhadap dana, instrumen bon dan sukuk di China dan negara-negara ASEAN.

Kerjasama dengan syarikat perkhidmatan maklumat pelaburan dari Amerika Syarikat juga akan dijalin untuk menawarkan perkhidmatan model pelaburan ekuiti kepada pengurus-pengurus dana peringkat ASEAN, katanya.

Di peringkat tempatan pula, tumpuan akan diberi memperluas edaran dan pemasaran produk dan perkhidmatan saham amanah yang diuruskan oleh PMB Investment Berhad, anak syarikat kumpulan Pelaburan MARA, kata Sohaimi.

"Bagi memastikan perancangan dan sasaran jualan 2015 tercapai, kami akan bergerak lebih agresif dengan meningkatkan promosi dan pemasaran produk pelaburan saham amanah kami," katanya pada sesi pertemuan dengan kakitangan Pelaburan MARA di Kuala Lumpur, Rabu.

Mengenai perancangan Pelaburan MARA 2015, Sohaimi berkata pihaknya menyasarkan penglibatan lebih luas dalam pelaburan ekuiti persendirian bagi mengukuhkan keusahawanan Bumiputera.

Katanya, fokus pelaburan tertumpu kepada syarikat-syarikat yang mempunyai rekod pencapaian perniagaan baik daripada segi kewangan dan operasi, struktur tadbir urus yang efektif selain memerlukan dana untuk mengukuh dan meluaskan pasaran sedia ada sehingga boleh disenaraikan di Bursa Malaysia.

Sohaimi berkata Pelaburan MARA sedang mengintai peluang mengambil bahagian dalam pembangunan Greater Kuala Lumpur sebagai rakan kongsi strategik kepada syarikat-syarikat multinasional yang bersetuju melabur dalam projek tersebut.

Katanya, kerjasama itu membuka peluang kepada perkongsian pengetahuan dalam bidang pengurusan dan operasi, pemindahan teknologi serta menyediakan peluang latihan industri dan pekerjaan kepada pelajar-pelajar Bumiputera.

Inisiatif berkenaan diharap dapat melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera, meningkatkan pendapatan dan memastikan Pelaburan MARA mendapat pendapatan berulang daripada pelaburan tersebut, katanya.

--BERNAMA

07 Jan 2015