HOME : NEWS & UPDATES

PMB NAFI RUGI RM1B DALAM PELABURAN

2015-01-05

Pelaburan MARA Bhd (PMB) menolak laporan media bahawa ia dipercayai berdepan kerugian atas kertas sehingga RM1 bilion dalam pelaburannya menerusi pegangan majoriti saham secara langsung dalam syarikat senaraian awam dan dana unit amanah yang diuruskan PMB Investment Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMB, Nazim Rahman, berkata pihaknya mempunyai standard tadbir urus dan pengurusan risiko sendiri untuk aktiviti pelaburannya yang termasuk peruntukan aset strategik yang memberi panduan prinsip untuk mencapai portfolio yang pelbagai dan seimbang.

Oleh itu, katanya, pelaburan dalam pasaran ekuiti adalah tidak melebihi 40 peratus daripada jumlah pelaburan dalam portfolio yang juga termasuk pasaran wang, pendapatan tetap dan pelaburan alternatif.

"Justeru, dengan pelaburan ekuiti hanya RM260 juta pada 31 Disember 2014, ia bertentangan dengan logik PMB mengalami kerugian atas kertas bernilai RM1 bilion.

"Walaupun semua pelaburan dilupuskan, kerugian hanya akan membabitkan jumlah pelaburan awal," katanya dalam satu kenyataan semalam bagi mengulas laporan media itu.

Nazim berkata, PMB Investment, yang mana adalah entiti berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSA), beroperasi secara berasingan sebagai pengurus dana Islam dan syarikat pengurusan unit amanah.

Beliau berkata, PMB Investment menguruskan 14 dana unit amanah, dana borong dan beberapa akaun portfolio budi bicara dengan mandat pelaburan dalam ekuiti, sukuk dan pasaran wang.

"PMB Investment perlu mematuhi proses pelaburan yang ketat seperti yang diluluskan oleh jawatankuasa pelaburannya," katanya.

Nazim berkata, PMB Investment memenangi beberapa anugerah dengan terbaharu adalah Ekuiti Islam Terbaik Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut di Anugerah Dana The Edge-Lipper Malaysia 2014.

Beliau berkata, PMB Investment mencatatkan jumlah pulangan 62.7 peratus bagi tiga tahun berakhir Disember 2013, sementara pulangan setahun bagi 2013 adalah 47.9 peratus, sekali gus menunjukkan tadbir urus dan proses pelaburannya yang kukuh.

Berita Harian
Isnin, 5 Januari 2015