Lima dana itu ialah PMB Shariah Growth Fund (PMB SGF), PMB Shariah Aggresive Fund, PMB Sha­riah Premier Fund, PMB Shariah Dividend Fund dan PMB Shariah Small-Cap Fund.

 

Menteri Kemajuan Luar Ban­dar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PMB SGF berada di kedudukan pertama dari 57 dana yang berada di pasaran bagi kategori Ekuiti Malaysia de­ngan mencatat pula­ngan sebanyak 33 peratus untuk prestasi setahun serta pulangan sebanyak 50 peratus bagi tempoh tiga tahun dan 79 peratus untuk lima tahun.

Berikutan prestasi memberangsangkan itu, PMB Investment mengumumkan agihan pendapatan dana PMB SGF sebanyak 12 sen seunit bersamaan kadar pulangan 8.85 peratus bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2018.

Majlis pengumuman agihan dividen itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian, Datuk Azizan Mohamad Sidin; Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara Berhad (PMB), Datuk Ahmad Nazim Rahman; Pengerusi PMB Investment, Datuk Abdul Malik Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed.

Menurut Ismail Sabri, PMB Shariah Aggresive Fund turut berada di tempat pertama dalam senarai Lipper sejak Disember 2012 dengan mencatat pulangan sebanyak 112 peratus bagi tempoh lima tahun, 56 peratus (tiga tahun) dan 29 peratus (setahun) yang berakhir 31 Disember 2017 bagi kategori Ekuiti Malaysia.

PMB Shariah Premier Fund pula kata beliau, mencatat prestasi memberangsangkan apabila memberi pulangan sebanyak 29 peratus bagi tempoh setahun, 38 peratus (tiga tahun) dan 45 peratus (lima tahun) yang berakhir 31 Disember 2017.

“PMB Shariah Dividend Fund mencatat kedudukan pertama dalam kategori Ekuiti Pendapatan Malaysia dengan pulangan seba­nyak 23 peratus bagi tempoh setahun, 36 peratus (tiga tahun) dan 45 peratus (lima tahun) ber­akhir 31 Disember 2017.

“PMB Investment juga berada di kedudukan pertama dalam kategori Ekuiti Malaysia Small & Mid Capital apabila PMB Shariah Small-Cap Fund mencatat prestasi pulangan berjumlah 33 peratus bagi tempoh setahun berakhir 31 Disember 2017,” katanya.

Dalam majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penghargaan kepada 52 orang anak pelabur yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Penghargaan berbentuk nilai pelaburan sebanyak RM1,000 seorang itu adalah sebagai galakan kepada generasi muda dalam memulakan pelaburan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berharap supaya PMB Investment lebih agresif mempromosikan produk-produknya agar dapat menarik lebih ramai pelabur.

“Kami di pihak kementerian juga menyeru agar lebih ramai masyarakat terutama di luar bandar dan anak-anak muda membuat persediaan awal bagi masa depan kewangan yang le­bih kukuh dengan membina kekayaan menerusi pelaburan.

“Difahamkan bagi memberi peluang semua lapisan masyarakat melabur, PMB Investment menyediakan pelaburan permulaan minimum dengan hanya RM100 dan pelaburan tambahan minimum hanya RM50. Jadi semua orang boleh melabur,” katanya.

Sementara itu, Abdul Malik berkata, pihaknya telah memper­kenalkan aplikasi telefon pintar pertama iaitu Online Sales Lead Management System (OSEM) pada Disember lalu bagi membolehkan pelabur-pelabur memantau sendiri dana yang dilabur selain membuat proses jual beli dana-dana PMB Investment secara terus.

“Kami yakin dengan prestasi dana yang memuaskan, ditambah pula dengan platform atau saluran pelaburan yang mudah, membolehkan PMB Investment menjadi pilihan masyarakat pelabur di Malaysia,” katanya.