HOME : NEWS & UPDATES

PMB INVESTMENT SASAR RM2 BILION ASET DI BAWAH PENGURUSAN MENJELANG AKHIR TAHUN INI

2019-07-01

KOTA BHARU, 1 Julai ( Bernama) -- PMB Investment Bhd, anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Bhd, menyasarkan aset di bawah pengurusan (AUM) di seluruh negara mencecah sehingga RM2 bilion menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad (Pelaburan MARA) Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata setakat Mei lepas nilai AUM bagi seluruh negara berjumlah RM1.2 bilion. 

“Angka ini akan bertambah dan PMB Investment turut menyasarkan nilai AUM akan meningkat sehingga RM5 bilion menjelang Disember 2020,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pejabat Jualan Negeri (Kelantan) PMB Inverstment Berhad dan Meraikan Anak Yatim Sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Nazran Muhammad dan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Najmi Mohamed yang merasmikan majlis tersebut.

Pada majlis sama, PMB Investment turut meraikan 60 anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Siti Aminah serta Rumah Kebajikan Anak Yatim Darul Aitam, dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri. 

Sementara itu, Tengku Ahmad berkata sehingga kini pelabur dari seluruh negara kini berjumlah 95,000 ribu, dan syarikatnya menjangkakan pelabur baharu di negeri ini akan mencecah seramai 20,000 ribu tahun ini.

Katanya dengan pembukaan Pejabat PMB Investment Kelantan, pihaknya yakin akan mencapai hasrat berkenaan menerusi kemudahan dan pendedahan ilmu pelaburan yang menepati Syariah.

“Memandangkan pengurusan dana diperkenal oleh syarikat patuh Syariah, kami yakin dapat menarik lebih ramai pelabur dan mampu mendapat tempat di hati rakyat negeri ini, katanya yang turut menyasarkan pelaburan sehingga RM20 juta bagi negeri ini menjelang akhir tahun ini. 

Beliau berkata pembukaan pejabat baharu di negeri ini bukan sahaja dapat menarik pelabur baharu, ia juga membuka sebanyak 1,400 peluang pekerjaan sebagai Perunding berdaftar syarikat kepada rakyat negeri ini. 

Sehingga kini PMB Investment membuka lapan pejabat di Johor Bahru, Kuantan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, dan yang terbaharu di Kota Bharu, Kelantan. 

Sumber: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1741096