HOME : NEWS & UPDATES

PMB INVESTMENT LANCAR DANA EKUITI SYARIAH UNTUK KKLW

2017-07-17

K E N Y A T A A N  M E D I A

 

PMB INVESTMENT LANCAR DANA EKUITI SYARIAH UNTUK KKLW


PMB Investment Berhad (PMB Investment), hari ini melancarkan dana ekuiti syariah dikenali sebagai PMB Dana Mutiara khusus untuk komuniti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mensasarkan pencapaian jualan RM100 juta sehingga Disember ini.   

 

Dana tersebut dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur sempena Sambutan 50 Tahun Pelaburan MARA Berhad. PMB Investment ialah syarikat kumpulan Pelaburan MARA Berhad (Pelaburan MARA).

 

Menurut Ismail Sabri, PMB Dana Mutiara merupakan dana saham amanah khas untuk KKLW, agensi-agensi dan anak-anak syarikat KKLW dengan sasaran pelaburan korporat kepada 9 agensi dan 121 syarikat serta sasaran runcit kepada lebih 40 ribu warga KKLW.

 

Menurut Nazim Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, objektif pelaburan PMB Dana Mutiara adalah untuk menyediakan pelabur pulangan stabil dan mencapai pertumbuhan modal jangkamasa sederhana hingga panjang dengan melabur dalam ekuiti dan sekuriti-sekuriti pendapatan tetap yang mematuhi prinsip-prinsip Syariah.

 

Pada majlis yang sama, Pelaburan MARA telah menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai syarikat pengurusan saham amanah paling lama beroperasi di Malaysia bagi kategori perniagaan.

 

Pengiktirafan tersebut telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Besar The Malaysia Book of records, Mohamad Alex Edward kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Dato’ Nazim Rahman. Menurut Alex, pengasingan fungsi di antara pentadbiran perniagaan yang diuruskan Pelaburan MARA dan pengurusan pelaburan melalui syarikat kumpulannya iaitu PMB Investment untuk aktiviti pengurusan saham amanah tidak menjejaskan  objektif untuk merekodkan Pelaburan MARA sebagai syarikat pengurusan unit amanah paling lama beroperasi di Malaysia.

 

“Pengiktirafan ini meletakkan Pelaburan MARA sebagai pemegang rekod kebangsaan selain diangkat sebagai The Best of Nation dalam kategori perniagaan,” tambah Alex.

 

Turut hadir ialah Ketua Pengarah MARA, Dato' Azhar Bin Abdul Manaf dan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed.

 

Pelaburan MARA telah ditubuhkan pada 24 Jun 1967. Bertindak sebagai sebuah firma kewangan dan pelaburan milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA), terlibat secara langsung dalam pelaburan, pengurusan aset, perkhidmatan pembiayaan dan nasihat korporat.  

 

PMB Investment merupakan Syarikat Pengurusan Dana Islamik (Islamic Fund Management Company, IFMC) dan mengurus 14 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa akaun portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset traidisional – ekuiti, sukuk dan pasaran wang.

 

-end-

Untuk maklumat lanjut , sila hubungi:
Marina Ghazali
Ketua, Komunikasi Pemasaran

Pelaburan MARA Berhad
019-232 7423 : marina@pelaburanmara.com.my