HOME : NEWS & UPDATES

PELABURAN MARA EYES ASEAN MARKET WITH INVESTMENT DATA

2017-04-26

K E N Y A T A A N  M E D I A

 

PELABURAN MARA SASAR PASARAN ASEAN MELALUI KHIDMAT DATA PELABURAN

 


Dalam mempelbagaikan rangkaian perniagaan syarikat, Kumpulan Pelaburan MARA Berhad (Pelaburan MARA) akan menawarkan perkhidmatan data pelaburan di pasaran Malaysia dan ASEAN menerusi anak syarikat baharunya, PMB Analytics Sdn Bhd (PMB Analytics) yang dilancarkan hari ini.

 

PMB Analytics dilancarkan oleh YB Datuk Hj Ahmad Jazlan bin Hj Yaakub, Timbalan Menteri II, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kuala Lumpur sempena Majlis Pra-Sambutan 50 tahun Pelaburan MARA.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Dato’ Nazim Rahman Pelaburan MARA akan meluaskan aktivitinya secara lebih agresif dalam perniagaan kewangan. Bagi memenuhi objektif ini, syarikat menjalin kerjasama dengan Dorsey Wright & Associates (DWA), sebuah syarikat milik Nasdaq, Inc. yang berpangkalan di Virginia, Amerika Syarikat (AS) dengan pengalaman dalam industri perkhidmatan data pelaburan selama lebih 30 tahun. PMB Analytics akan memperkenal dan mempromosi model pelaburan DWA secara aktif kepada pelanggan korporat dan institusi kewangan selain merancang memperkenalkan produk aplikasi digital bagi memenuhi keperluan pelabur-pelabur runcit. Itu adalah sejajar dengan visi PMB Analytics untuk menjadi pengedar model pelaburan terkemuka kepada syarikat-syarikat pelaburan dan kewangan di rantau Asia Tenggara termasuk di Indonesia, Thailand dan Vietnam. Selain itu PMB Analytics bercadang untuk memasuki pasaran China, India, Australia dan New Zealand menjelang 2020.

 

“Penubuhan PMB Analytics diharap dapat memberi manfaat kepada pelabur untuk mendapatkan khidmat dan kepakaran daripada syarikat penasihat pelaburan terkemuka dunia. Ini adalah salah satu strategi perniagaan kami untuk terlibat dalam teknologi kewangan”.

 

“Pelaburan MARA menguasai 70 peratus daripada pegangan kepentingan dalam syarikat berkenaan dan selebihnya dimiliki oleh pihak persendirian,” katanya.

 

“PMB Analytics merupakan pemegang hak mutlak pemasaran model pelaburan DWA di Malaysia, yang berupaya memberikan pulangan yang memberangsangkan kepada pelaburan ekuiti untuk jangka masa panjang,” tambahnya lagi.

 

“Kini, terdapat beberapa model analisis teknikal berasaskan data pelaburan di pasaran tempatan. Walaubagaimanapun, tiada yang berjaya menggunapakai ke atas dana bersaiz besar dan mempunyai reputasi seperti DWA.  Model DWA memproses data menerusi carta angka dan mata. Ia membabitkan pengiraan matematik yang kompleks yang membolehkan sistem berkenaan menganalisa halatuju sesuatu pelaburan dengan cepat serta kekuatan dan kelemahan sesuatu aset pelaburan berbanding dengan aset yang lain. Selain itu, ia juga akan mencadangkan kepada pelabur pelaburan terbaik pada satu-satu masa”.

 

“Terdapat beberapa dana daripada syarikat-syarikat tempatan telah menggunakan model ini dan mendapat pulangan yang memberangsangkan sehingga lebih 86 peratus bagi tempoh 5 tahun, lebih 21 peratus untuk tempoh 3 tahun dan bagi tempoh tiga bulan tahun ini, dana berkenaan telah memberi pulangan sehingga 11.7 peratus.


Pelaburan MARA telah ditubuhkan pada 24 Jun 1967. Bertindak sebagai sebuah firma kewangan dan pelaburan milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA), terlibat secara langsung dalam pelaburan, pengurusan aset, perkhidmatan pembiayaan dan nasihat korporat.  

 

-end-

 

Untuk maklumat lanjut , sila hubungi:

Marina Ghazali
Ketua, Komunikasi Pemasaran

Pelaburan MARA Berhad
019-232 7423

marina@pelaburanmara.com.my

26 April 2017