HOME : NEWS & UPDATES

KERJASAMA MAAB DAN PMBI TINGKAT URUSAN FAIL WASIAT

2017-12-15

Kerjasama MAAB dan PMBI tingkat urusan fail wasiat

 

 

 

KUALA LUMPUR: MyAngkasa Amanah Bhd (MAAB), berada di landasan tepat untuk meningkatkan jumlah pengurusan perancangan harta pusakanya dengan menjalin kerjasama strategik bersama PMB Investment Bhd (PMBI), anak syarikat Pelaburan MARA Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif MAAB, Datuk Ahmad Saruji Abdul Azizi, berkata pihaknya menjangkakan untuk menguruskan kira-kira 500 fail urusan wasiat dan pentadbiran pusaka dalam tempoh tiga bulan, membabitkan pelabur PMBI.

Katanya, kerjasama antara MAAB dan PMBI amat penting kerana mereka boleh melaksanakan urusan wasiat dan pentadbiran pusaka melalui ejen PMBI di seluruh Semenanjung Malaysia, dengan kadar fi yang berpatutan pada bila-bila masa.

"Setakat ini, MAAB menguruskan 213 fail dan kami yakin jumlah yang disasarkan itu dapat dicapai berikutan sudah ada permohonan.

"MAAB juga mencari rakan strategik yang betul bagi memastikan kadar penembusan rakyat Malaysia melaksanakan pentadbiran harta pusaka meningkat berbanding kurang satu peratus pada masa ini," katanya kepada media di majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara MAAB dan PMBI di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PMBI, Datuk Abdul Malik Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif PMBI, Najmi Mohamed; dan Timbalan Presiden ANGKASA, Mutadho Bahri.

Ahmad Saruji berkata, sehingga kini MAAB masih kekal sebagai pemain industri produk penulisan wasiat pada kadar bayaran terendah di pasaran berbanding dengan syarikat amanah lain.

"Untuk wasiat, fi yang dikenakan hanya RM400 (sekali bayar) dengan pindaan percuma dan caj pusaka adalah dua peratus daripada jumlah nilai aset.

"MAAB masih mengekalkan harga mampu milik kepada orang ramai untuk menggalakkan pelanggan membuat perancangan harta pusaka yang komprehensif," katanya.

Sementara itu, Najmi berkata, bagi memberi nilai tambah kepada pelanggan, MAAB akan memberi mandat kepada PMBI untuk menawarkan perkhidmatan hibah kepada pelabur dan pelanggan PMBI pada suku pertama 2018.

"Buat masa ini, terdapat kira-kira 70,000 pelabur yang melabur dengan PMBI dan diharap dengan produk pengurusan amanah MAAB ini dapat memberi mereka lebih banyak pilihan," katanya.

MAAB turut melatih kakitangan dan ejen PMBI bagi melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan dalam memberi khidmat nasihat serta jualan kepada pelabur.

-BERITA HARIAN-